undefined
undefined

Si Tanggang Anak Derhaka  

Posted by edan coba


SI TANGGANG...

SIPNOSIS :

Si Tanggang dilahirkan di kalangan keluarga miskin yang tinggal di pinggir hutan, ada yang kata daripada keluarga orang asli. Si Talang dan Si Deruma merupakan bapa dan ibu kepada Si Tanggang. Mereka hidup sebagai keluarga nelayan di tepi pantai (dalam sesetengah versi: sungai).

Si Tanggang merupakan seorang kanak-kanak yang bercita-cita tinggi. Dia selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal. Akan tetapi, keadaan hidupnya yang serba kekurangan dan ketiadaan peluang menjadi penghalang kepada cita-citanya.

Apabila masuk alam remaja, suatu hari Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pergi mencuba nasib, dia berjumpa dengan nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Mulanya nakhoda kapal sangsi atas kebolehan Si Tanggang akan tetapi Beliau bersetuju setelah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan tika menuju ke kapal Beliau tadi.
Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya.
Tetapi ada pula cerita yang menyebut dia telah ditangkap rombongan pendatang yang kemudian membawanya belayar ke negeri lain.

Apapun, anak muda ini sangat rajin, pintar serta pandai menyesuaikan diri dengan keadaan. Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil "Nakhoda Tanggang".

Si Tanggang memiliki kecekapan dalam berniaga. Dia menjadi kaya raya dan namanya menjadi sangat terkenal hingga sampai ke telinga Sultan lalu dijemput ke istana. Tidak lama selepas itu Si Tanggang berkahwin dengan beberapa orang isteri (menurut satu riwayat, tiga orang) dan isteri nombor tiga adalah seorang puteri raja.

Pada suatu hari Si Tanggang telah keluar belayar membawa ketiga-tiga isterinya berjalan. Kebetulan dan tanpa disedari dia telah singgah di kampung halaman tempat asal-usulnya. Dipendekkan cerita, ibu-bapanya yang telah lama tidak ditemui mendapat tahu tentang kedatangan seorang saudagar yang memiliki ciri-ciri anak mereka yang hilang lalu pergi menyiasat. Setelah pasti itulah Si Tanggang, mereka cuba merapatinya dengan membawa makanan hutan kegemarannya semasa kecil dahulu.
Sebenarnya Si Tanggang sedar bahawa orang yang datang itu adalah ibu-bapa kandung yang telah membesarkannya dahulu tetapi beliau terasa malu hendak mengaku di hadapan orang-ramai terutama para isterinya yang cantik rupawan lagi bangsawan.

Apapun, menurut ceritanya, isteri ketiga yang merupakan seorang puteri raja telah menyuruhnya menerima kedua orang tua yang datang itu. Katanya, apa salah mengaku ibu bapa kandung sendiri tak kiralah seburuk mana pun rupa mereka.
Rupa-rupanya kata-kata ini telah membuat Si Tanggang terasa lebih malu dan tersinggung. Beliau mula mengeluarkan kata-kata kesat dan sumpah-seranah menyuruh orang tua itu pergi. Dalam keadaan hati hancur luluh dihina begitulah si ibu lalu menadah tangan kepada Ilahi seraya berdoa..

"""kalau betullah pemuda di hadapannya adalah Si Tanggang yang pernah dikandungnya selama 9 bulan lebih, maka buktikanlah dengan menukarkan segalanya menjadi batu.
"

Tiba-tiba petir berdentum dan angin bertiup kencang. Kapal Si Tanggang terumbang-ambing akibat air yang bergelora. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah menderhaka.

Akhirnya, dia berteriak kepada ibunya supaya diampun. Akan tetapi, penyesalannya sudah tidak berguna lagi. Kapalnya pecah akibat dipukul oleh ombak yang kuat.
Apabila ribut reda, Si Tanggang, isterinya, kapalnya, dan semua anak kapalnya telah bertukar menjadi batu.
-------------------------------------------------------------------------------------------------


Batu Tanggang di Bukit Tinggi, Indonesia

INFO LANJUT:-
  • Si Tanggang (atau dieja "Si Tenggang") ialah sebuah cerita dongeng masyarakat Melayu yang mengisahkan kehidupan seorang pemuda bernama Si Tanggang yang menderhakai ibunya,dan akhirnya bertukar menjadi batu kerana disumpah oleh si ibu dengan makbul Tuhan.
  • Cerita Lagenda Melayu ini sangat terkenal sehingga ada beberapa lokasi di Tanah Melayu dikaitkan dengannya, termasuk Batu Caves di pinggir bandaraya Kuala Lumpur yang sekarang terkenal dengan kuil Hindu serta patung dewa setinggi bangunan 14 tingkat di hadapannya.
  • Wilayah Indonesia juga memiliki cerita yang serupa, cuma nama wataknya berbeza iaitu "Malim Kundang". Kesannya dikatakan masih ada di Sumatera, hingga kini masih kelihatan batu-batan berbentuk sauh, tali kapal, manusia dan sebagainya.
  • Tetapi berapa ramai yang tahu cerita anak derhaka disumpah jadi batu ini juga dikatakan berlaku di Muar, lebih tepat lagi di Bukit Treh? satu-satunya bukit yang terletak dalam lingkungan 5 km daripada pusat bandar kedua terbesar di Johor itu?
1. Belakang kapal yang telah bertukar jadi batu.
2. Tali-tali kapal jelas kelihatan.
3. Tempayan kapal.
4. Sepertinya depan kapal bertukar jadi batu.


  • Ia digunakan dalam buku teks sekitar 1960-an berdasarkan karya Abdul Samad Ahmad 1955. Dongeng ini dikenali juga dengan beberapa nama lain, antaranya Malin Kundang atau Malim Kundang (Minangkabau) dan Nakhoda Manis (Brunei). Masing-masing merupakan versi yang sedikit berbeza, tetapi memiliki isi cerita yang sama.
  • Dongeng Si Tanggang disampaikan secara lisan. Oleh itu, ia mempunyai banyak versi yang berbeza mengikut tempat di Nusantara.Dalam versi asal yang disampaikan oleh orang Minangkabau, Si Tanggang dikenali dengan nama Malin Kundang.
  • Beberapa tempat di Kepulauan Melayu dikaitkan dengan dongeng Si Tanggang.Antaranya ialah Jong Batu di Brunei, Batu Caves di Malaysia, dan Batu Malin Kundang di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera Barat.Tempat-tempat ini, menurut kepercayaan masyarakat setempat,mengandungi bekas sejarah Si Tenggang menjadi batu.


  • Dalam versi Brunei, Si Tanggang dikenali dengan nama Nakhoda Manis dan ibunya bernama Dang Ambon, manakala bapanya sudah meninggal dunia ketika dia masih kecil.Mereka tinggal berdekatan dengan Sungai Brunei.Nakhoda Manis merantau di sebuah pekan yang bernama Sulok.Adalah diperkatakan bahawa batu yang ditukarkan daripada seluruh kapal Nakhoda Manis berserta isinya adalah Jong Batu di Sungai Brunei.


Si Tanggang merupakan antara dongeng yang paling popular dalam kalangan orang Melayu. Ia diceritakan melalui lisan secara turun-temurun.Kanak-kanak akan didedahkan dengan cerita ini. Ini kerana dongeng ini mengandungi pengajaran penting yang merupakan salah satu pantang larang dalam adat Melayu: "JANGAN DERHAKA KEPADA ORANG TUA". 

Pengajaran ini juga selaras dengan ajaran Islam yang menghormati kedudukan ibu bapa.Kanak-kanak yang tidak mahu menurut suruhan ibu atau bapa akan cepat-cepat diusik dengan panggilan "Si Tanggang" untuk mengingatinya mengenai kisah tersebut.


undefined
undefined

PUTERI GUNUNG LEDANG  

Posted by edan coba



GUNUNG LEDANG.. terletak di kawasan Sagil dalam daerah Tangkak bersempadan dengan daerah Jasin di Melaka.Gunung setinggi 4,187 kaki (dari aras laut) silamnya dipanggil “Mount Ophir” oleh orang-orang Portugis.( sumber sejarah Melaka di Perpustakaan Lisbon, Portugal) yang menguasai negeri Melaka pada tahun 1511. 

Di kawasan gunung ini juga pernah diceritakan wujudnya emas dan pernah ditemui di suatu kawasan gunung yang dinamakan Gunung Gemih. Cerita orang dahulu, ketika Gunung Ledang masih baru didaki orang dan belum mendapat jalan mendaki seperti sekarang. Sesiapa yang sedang mendakinya akan merasakan sesuatu yang luarbiasa seolah-olah sedang berada di suatu tempat yang sangat indah.



nenek kebayan


dari puncak Gunung Ledang


ANTARA MAKLUMAT PENTING BERKAITAN SEJARAH GUNUNG LEDANG YANG BELUM DIKETAHUI UMUM IALAH:-

  1. LEDANG.. menurut 'Kamus Dewan' ialah dari segi Bahasa Jawa yang bererti : menunjuk-nunjukkan diri seseorang yang ego.
  2. Adalah dipercayai nama Gunung Ledang ini dicipta oleh Kerajaan Majapahit yang telah berkuasa di negeri ini sebelum kebangkitan kerajaan Melaka. Maksudnya Gunung Ledang itu ialah gunung yang tinggi.
  3. Maklumat daripada Sejarah China pula Laksamana Cheng Ho dikatakan pernah melawat Gunung Ledang.Beliau dikatakan melawat lombong-lombong emas di Gunung Ledang dan mengambil contoh emas-emas tersebut untuk pengetahuan rajanya.
  4. Di keliling kemuncak Gunung Ledang terdapat 7 buah kemuncak rendah. Setiap satunya mempunyai legendanya yang tersendiri.
  5. Yang paling aneh sekali ialah Legenda Gunung Gemih yang ceritanya ada sebuah gua emas yang dikawal rapi oleh penunggunya seekor lembu emas.
  6. Dalam peta lama Portugis, nama GEMIH ini ditulis sebagai “GUMMAY” yang bermaksud sebuah pusat perusahan emas.
  7. Menurut kolonel Gerini ( 1904 ), Gemih masih merupakan pusat perlombongan emas orang-orang Melayu di Gunung Ledang sehingga tahun 1817.
  8. Rounsevelle Wildman, seorang penulis terkenal dari Amerika Syarikat telah menemui seketul logam yang diambil dari kawasan lombong di tebing Sungai Gemih pada tahun 1894, apabila dileburkan didapati mengandungi emas.



PUTERI GUNUNG LEDANG :-
Puteri Gunung Ledang dikatakan amat cantik hingga diingini oleh Sultan Mahmud dari Kesultanan Melaka. Pendekar yang diutuskan meminang ialah Laksamana Hang Tuah, Tun Mamat dan beberapa orang lain. 

Semasa kecil, Hang Tuah berguru silat di atas Gunung Ledang dan biasa dengan jalan ke puncak Gunung Ledang. Akan tetapi kala ini, umurnya telah terlalu tua untuk ke puncak Gunung Ledang. Dengan itu, Tun Mamat ditugaskan ke puncak dan menemui seorang nenek tua atau lebih dikenali sebagai nenek kebayan yang sebenarnya,samaran kepada Puteri Gunung Ledang. 

Puteri Gunung Ledang dikatakan menolak pinangan Sultan Mahmud dengan mengenakan tujuh syarat yang tak mampu ditunaikan, ialah:
  • 1 jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang.
  • 1 jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang.
  • 7 dulang hati nyamuk.
  • 7 dulang hati kuman.
  • 7 tempayan air mata anak dara.
  • 7 tempayan air pinang muda.
  • 1 mangkuk darah Sultan Ahmad, iaitu anak Sultan Mahmud Shah, dan masih kanak-kanak lagi.
Semua syarat itu sanggup ditunaikan oleh Sultan Melaka kecuali darah puteranya.

Dalam Hikayat Hang Tuah, Sultan yang meminang dengan Puteri Gunung Ledang bukannya Sultan Mahmud, tetapi Sultan Mansor Shah.

(Dalam karya agungnya Sulalatus al-Salatin (Sejarah Melayu) Tun Sri Lanang mengisahkan tentang Sultan Mahmud yang setelah kematian isteri, berhasrat meminang Puteri Gunung Ledang. Baginda tidak mahu beristerikan puteri raja biasa kerana ia bererti sama dengan raja-raja lain. Baginda ingin tampil lain dari yang lain. Katanya, “…yang kita kehendaki barang yang tiada pada raja-raja yang lain, itulah yang hendak kita peristeri. Akan sekarang, kita hendak menyuruh meminang Puteri Gunung Ledang;…….” ).


Selain itu dalam Hikayat Hang Tuah, sahabat yang menderhaka ialah Hang Jebat. Akan tetapi dalam Sejarah Melayu, cerita 'Shellabear' ialah Hang Kasturi.

undefined
undefined

Lagenda Mahsuri Puteri Langkawi  

Posted by edan coba



 

MAHSURI DAN SUMPAHAN TUJUH KETURUNAN

Mahsuri adalah anak perempuan kepada pendatang Siam yang beragama Islam. Beliau telah dituduh melakukan perbuatan sumbang oleh ibu mertuanya sendiri disebabkan oleh kecantikan serta penghormatan yang dimiliki oleh Mahsuri. Akibatnya Mahsuri dihukum dengan hukuman mati. 

Pada hari hukuman, keris keramat kepunyaan keluarganya sendiri digunakan untuk membunuhnya. Namun begitu terdapat satu perkara aneh berlaku dimana darah yang keluar dari badan Mahsuri berwarna putih yang membuktikan tuduhan yang dilemparkan kepadanya adalah fitnah semata-mata. 

Disaat-saat akhir kematiannya, Mahsuri telah bersumpah bahawa Langkawi akan menjadi kawasan yang mundur selama tujuh keturunan.Kebenaran sumpah itu telah terbukti apabila Langkawi telah diserang oleh tentera Siam dan semua bekalan makanan dan tanaman telah dimusnahkan. 

Antara kebenaran lagenda atau terbuktinya sumpahan itu, Langkawi hanya mula berkembang maju sekali lagi setelah tujuh keturunan dalam kepayahan.


Pulau Dayang Bunting (Penampakkan Kepala dan perut seakan Dayang Sari membunting)

LAGENDA PULAU DAYANG BUNTING

Lagenda pada pulau ini penuh dengan misteri dan mitosnya sendiri. Air dari tasik pulau ini dipercayai dapat merawat kemandulan dengan meminum atau mandi dengannya. Terdapat banyak versi cerita rakyat tentang asal-usul tasik ini namun lagenda Putri Dayang Sari adalah cerita yang termasyur.


TASIK DAYANG BUNTING




Tasik Dayang Bunting terletak di sebuah pulau yang membawa nama yang sama iaitu Pulau Dayang Bunting. Pulau yang berukuran 800 x 350 meter ini adalah pulau yang terbesar diantara gugusan pulau-pulau di Langkawi. 

Tasik Dayang Bunting ini dikelilingi dari setiap sudut oleh cerun curam yang ditumbuhi sepenuhnya oleh pokok-pokok dan dipisahkan dari laut oleh satu rekahan kecil melalui timbunan batu kapur. Struktur Geografi yang membentuk bukit-bukiau serta batu-batan disekeliling tasik ini seolah-olah menggambarkan seorang wanita yang mengandung sedang tidur terbaring. 

Namun begitu, tasik ini diberi nama sedemikian kerana mengambilkira satu lagenda lama yang mengisahkan perkahwinan seorang puteri kayangan dengan seorang putera raja kerajaan bumi. Anak yang lahir dari perkahwinan mereka ini telah mangkat selepas saja ia dilahirkan. Oleh kerana puteri ini sangat sedih dan kecewa, beliau telah menyemadikan mayat anaknya ke dalam air tasik ini. 

Beliau telah meninggalkan bumi dan kembali pulang ke kayangan tetapi telah menjampi air tasik tersebut sebagai penawar kepada pasangan yang tidak dapat melahirkan anak. Dipercayai perempuan mandul akan dapat mengandungkan anak selepas mandi di tasik ini..


LAGENDA PUTRI DAYANG SARI

Tasik ini adalah salah satu tempat yang menjadi pilihan utama Putri Dayang Sari, seorang puteri dari kayangan, bermain dan mandi. Pada satu hari, seorang putera raja iaitu Putera Teja telah terserampak dengan Putri Dayang Sari yang ketika itu bermain dan mandi ditasik tersebut. Putera Teja terpegun dengan kecantikan yang dimiliki oleh puteri dari kayangan itu dan beliau terus jatuh cinta. Putera Teja cuba memikat Putri Dayang Sari dengan puisi serta lagu-lagu yang indah lagi merdu tetapi tidak berjaya. 

Oleh kerana usahanya tidak berjaya, beliau telah berjumpa dengan cerdik pandai untuk mendapat nasihat memenangi hati puteri tersebut. Beliau telah disuruh membasuh mukanya dengan airmata puteri duyung. Apabila beliau telah berbuat demikian Putri Dayang Sari telah jatuh cinta dengan kecantikan yang dimilik oleh Putera Teja. 

Selepas berkahwin, Putri Dayang Sari telah mengandung. Bayi yang dikandungnya itu telah mati ketika dilahirkan dan beliau merasakan parkahwinannya ini adalah merupakan satu tipu helah. Selepas mengkebumikan bayi tersebut didalam tasik ini, Puteri Dayang Sari yang mempunyai penawar kemandulan telah kembali kekayangan dan tidak kembali lagi.



MISTERI TELAGA TUJUH

Telaga Tujuh atau "The Seven Wells" adalah satu rangkaian tujuh telaga semulajadi yang airnya mengalir dari tujuh mata air. Dipercayai terdapat tujuh orang puteri dari kayangan yang sering mandi dan amat suka akan kesejukan air perigi ini. Terdapat seorang putera raja yang tinggal berhampiran perigi ini dan cuba untuk memikat serta mengahwini salah seorang puteri-puteri ini tetapi masih belum berjaya. Air ini juga dipercayai mempunyai kuasa yang boleh menyembuhkan beberapa penyakit.

LAGENDA MAT CHINCHANG DAN MAT RAYA

Mat Chinchang dan Mat Raya adalah diantara keluarga gergasi yang tinggal di pulau utama Pulau Langkawi. Disebabkan oleh saiz yang besar serta kekuatan tenaga yang dimiliki oleh mereka, bentuk mukabumi Langkawi telah berubah dengan dramatik. 

Lagenda mereka bermula, apabila Mat Raya bercadang mengadakan kenduri sempena pertunangan anak perempuannya dengan anak lelaki Mat Chinchang. Pada hari majlis itu berlangsung didapati anak lelaki Mat Chinchang telah berlaku sumbang dengan seorang dara dan ini telah mencetuskan kemarahan Mat Raya. 

Akibatnya, persahabatan dua keluarga ini telah terputus dan wujud permusuhan yang hebat serta pertumpahan darah dan kehilangan nyawa. Pergaduhan dua keluarga ini telah mengubah kawasan dipulau utama ini dimana tempat cincin pertunangan itu jatuh selepas dicampak dinamakan Tanjung Cincin. 

Kawasan dimana peralatan memasak itu pecah dinamakan Kampung Belanga Pecah, kuah yang mengalir itu dinamakan Pekan Kuah dan tempat dimana kuah itu meresap ke tanah dinamakan Kisap serta kawasan Air Hangat yang mempunyai perigi air panas berasal dari bekas memasak air yang telah pecah bagi majlis tersebut. 

Mat Raya dan Mat Chinchang pula telah bertukar menjadi gunung batu yang dikenali sebagai Gunung Raya dan Gunung Chinchang. Mat Sawar yang cuba menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah pertelingkahan ini telah bertukar menjadi sebuah bukit yang menjadi pemisah kepada dua gunung ini.




TAMAN LAGENDA LANGKAWI

Taman tema yang dikenali sebagai "Lagenda Langkawi On The Park" dibina bagi mengembalikan kegemilangan sejarah Langkawi. Taman ini akan menghidupkan kembali peristiwa-peristiwa yang penuh misteri serta lagenda yang penuh romantik yang menjadikan Langkawi sebagai Kepulauan Lagenda.

Langkawi sebagai subjek utama kepada banyak sejarah dan lagenda indah terdiri dari gugusan 99 buah pulau. Cerita dongeng menyatakan Langkawi adalah tempat tinggal roh-roh manakala dalam Hikayat Merong Maha Wangsa sebuah buku kesusasteraan klasik menceritakan Langkawi adalah tempat rehat burung Garuda.

Laksamana Cheng Ho, dari China, dalam pelayaran ke Melaka dalam tahun 1406 mencatatkan Langkawi dalam peta pelayarannya sebagai Lung-Ya-Kian-Yi manakala dalam peta yang dihasilkan dalam abad ke-16 Langkawi dinamakan dengan menggunakan banyak nama seperti Langka, Langu, Langura, Langa dan Langapura.

Taman tema yang indah dan cantik ini mempunyai lagun air tawar buatan manusia yang merangkumi kawasan seluas 50 ekar yang dibina diatas tanah tebus guna. Aliran air yang jernih turun ditengah-tengah kawasan membahagikan kawasan berbukit disebelah kiri dengan ukiran patung-patung lagenda disebelah kanan. 

Keindahan Selat Melaka dapat dilihat dari kawasan bukit yang tinggi atau Galeri Perayaan (Celebration Gallery) manakala kecantikkan kawasan laut dan pantai dapat dinikmati dari dua peghujung tanjung yang membentuk lagun di Pantai Lagenda.

Melangkah ke Lagenda Langkawi menjanjikan satu pengembaraan melalui sejarah dan pintu masa yang membawa kita ke zaman yang penuh kemeriahan kaya dengan lagenda dan dongeng tempatan.



Kampung Air Hangat

Telaga Air Hangat juga wujud akibat pergaduhan dua gergasi yang sama. Diantara pinggan mangkuk serta periuk belanga yang pecah terdapat beberapa bekas yang digunakan untuk memasak air panas. 


Tempat dimana tumpahnya air panas tersebut mengasilkan telaga air panas yang wujud sekarang. Terletak dikawasan Telaga Air Panas seluas 4 ekar, terbina kompleks moden yang didalamnya terdapat 3 tingkat pancutan air panas, mural lukisan tangan diatas batu sungai sepanjang 18 meter yang menceritakan lagenda disebalik kewujudan tempat ini, demostrasi harian tentang kraftangan tempatan dan tarian kebudayaan serta kedai-kedai yang menjual kraftangan. 

Terdapat juga kemudahan kedai makanan dan minuman yang menyediakan juadah tempatan disini. Kompleks ini terletak hanya 14 kilometer dari pekan Kuah.



Padang Mat Sirat

Padang Mat Sirat terletak 12 kilometer dari pekan Kuah. Selepas kematian Mahsuri, Langkawi telah diserang oleh Angkatan Tentera Siam. Rakyat tempatan telah membakar semua beras sebagai bekalan utama makanan bagi menghalang tentera Siam mendapat bekalan makanan untuk mereka. Diceritakan, mereka telah menanam beras tersebut didalam tanah sedalam 1 meter dan kesan beras terbakar tersebut masih lagi boleh dilihat hingga sekarang, lebih-lebih lagi selepas hujan. Tempat dimana beras terbakar itu dapat dilihat dinamakan Beras Terbakar dimana kebanyakan orang percaya boleh mengubat beberapa jenis penyakit.



Telaga Tujuh

Terletak di Barat Laut Pulau Langkawi, 23 kilometer dari Pekan Kuah, Telaga Tujuh adalah keindahan dan keajaiban geografi dimana air terjun yang turun berasal dari tujuh punca air semulajadi yang berlainan. Hutan hijau yang merimbun mengelilingi air terjun tersebut menambahkan lagi sentuhan kedamaian kepada keindahan alam semulajadi. Lagenda ada menyatakan tempat ini adalah tempat pari-pari bersiram dan bermain-main. Kehadiran mereka dapat dirasa dan dikesan melalui bau yang menyenangkan ke seluruh kawasan sekitar.




Tanjung Rhu

Tanjung Rhu terletak disebuah tanjung di utara Pulau Langkawi dan jaraknya 20 kilometer dari Pekan Kuah. Oleh kerana pantai ini dipenuhi dengan pohon-pohon rhu maka ia dinamakan Tanjung Rhu. Terdapat sebuah pulau yang terletak berhampiran pantai ini yang boleh sampai dengan menyeberangi kawasan air yang cetek. Perjalanan menggunakan bot dari pulau ini, membawa kita ke satu tempat yang dinamakan Gua Cerita. Terdapat tulisan-tulisan lama yang masih tidak dapat ditafsirkan sepenuhnya menggambarkan misteri dan keasyikan lagenda lama.





Peta Langkawi