Rumah Agam Cheong Fatt Tze
Cheong Fatt Tze Mansion:-
Sebuah rumah yang unik lagi bersejarah yang terletak di bandar Georgetown, Pulau Pinang kini menjadi tarikan utama pelancong untuk berkunjung ke Pulau Mutiara tersebut. "Rumah Agam Cheong Fatt Tze" merupakan struktur bangunan bersejarah yang telah berusia 130 tahun, dengan keindahan seni bina " Hakka-Teochew". Lebih membanggakan apabila baru-baru ini Rumah Agam Cheong Fatt Tze telah mendapat pengiktirafan daripada 'UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu).
Turut mencatatkan kemasyhuran apabila rumah agam ini pernah digunakan sebagai lokasi penggambaran Filem Perancis bertajuk 'Indochine" yang dibintangi "Catherine Deneuve".
Terletak di Lebuh Leith, Rumah Agam ini dibina pada tahun 1880 oleh pedagang China yang kaya bernama "Cheong Fatt Tze" sebagai kediaman untuk 8 orang anaknya. Mempunyai 38 bilik, 220 jendela, 5 bidang laman yang diturap granit dan 7 batang tangga. Kesemua hiasan dan binaan berasaskan prinsip "Feng Shui".
Apa yang paling menarik ialah warna biru indigo rumah agam ini diperbuat daripada tumbuhan-tumbuhan. Warna ini juga merupakan warna yang popular pada 'Zaman Kolonial', dan disebabkan warna birunya ini, maka rumah ini turut digelar sebagai "Le Bleu Mansion".
Hiasan dalaman rumah agam ini juga amat mempersonakan kerana ia mengekalkan ciri seni bina Hakka yang sangat halus dan teliti. Dinding Rumah ini dipenuhi dengan gambar-gambar keluarga Cheong Fatt Tze, seperti menceritakan kisah kegemilangan keluarga ini.
Balkoni dan anjung rumah ini juga dihiasi dengan ukiran kayu dan besi yang diukir cantik. Bilik-bilik di dalam rumah agam ini juga dihiasi dengan tema yang berlainan. Untuk sudut dalamnya, paling menarik untuk disaksikan adalah bahagian tengah yang tidak berbumbung. Tujuannya adalah untuk menakungkan air hujan untuk menjadi sebuah kolam secara semula jadi.
Selepas kematian anak lelaki Cheong Fatt Tze pada tahun 1989, rumah ini ditinggalkan terbiar. Namun pada tahun 1991, usaha membaikpulihan rumah ini telah dijalankan dan mengambil masa 3 tahun untuk disiapkan.
Kini rumah agam yang indah ini telah rasminya dijadikan muzium dan juga rumah tumpangan. Rumah agam yang bersejarah ini dibuka untuk lawatan dari jam 11 pagi hingga 3 petang dan bayaran masuk ialah sebanyak RM10.00 seorang. Untuk penginapan 1 malam adalah berharga RM300++
Untuk makluman lanjut sila layari http://www.cheongfatttzemansion.com